Penduduk Luar Bandar Dipinggirkan

3 05 2010

RANAU: Kerajaan Barisan Nasional telah gagal untuk menyelesaikan masalah kemiskinan yang menghimpit kehidupan penduduk luar bandar kata Jonathan Yasin Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Sabah yang juga Ketua Cabang PKR Ranau.

Bercakap kepada penduduk di Kg. Keiyiep, Ranau (46 Km dari Pekan Ranau) beliau menerangkan bahawa Kerajaan BN mewar-warkan peruntukan berbillion ringgit untuk membangunkan negara supaya kualiti kehidupan rakyat bertambah baik namun kehidupan penduduk luar bandar masih dalam keadaan sempit, daif dan miskin. Kemudahan kesihatan dan sekolah yang jauh dari tempat tinggal penduduk kampung, keadaan perhubungan jalanraya yang teruk dan buruk, kenaikan kos barang-barang dan kos sara hidup yang makin tinggi, kurangnya kemudahan bekalan air bersih dan kegagalan kerajaan membawa pembangunan kepada rakyat menjadi antara punca kepada kemiskinan dan kemunduran penduduk kampung.

Kerajaan BN telah gagal untuk mempastikan bahawa pembangunan yang dirancang untuk membawa rakyat keluar dari belenggu kemiskinan benar-benar sampai kepada golongan sasaran. Peruntukan berbillion ringgit yang diumumkan untuk kemajuan dan pembangunan rakyat hanya indah khabar dari rupa.

Kerajaan juga telah gagal untuk mempercepatkan pewartaan kawasan perkampungan dengan secukupnya bagi mempastikan penduduk kampung mempunyai kelangsungan hidup untuk generasi-generasi akan datang. Kita tidak mahu berlaku seperti apa yang terjadi di Kota Marudu di mana kawasan perkampungan hanya diwartakan seluas 50 ekar saja untuk kelangsungan hidup penduduk kampung untuk generasi akan datang. Tidak wajar Kerajaan hanya memberikan 50 ekar itu untuk pewartaan kawasan rizab kampung kerana jumlah penduduk kampung akan bertambah dan dalam beberapa waktu saja kawasan seluas 50 ekar itu juga sudah tidak dapat menampung untuk keperluan penduduk kampung.

Kerajaan mestilah mengeluarkan geran-geran tanah kepada para penduduk kampung yang telah berpuluh tahun memohon tanah adat anak negeri mereka. Bagi kawasan yang mahu dimajukan untuk tujuan pembangunan agropolitan maka Kerajaan mestilah mempastikan supaya kawasan-kawasan tanah adat anak negeri mestilah dikeluarkan geran di atas nama penduduk kampung untuk tujuan pembangunan agropolitan tersebut. Kita tidak mahu terjadi bila pembangunan agropolitan sudah dijalankan maka penduduk kampung hanya berputih mata kerana geran tanah sudah di atas nama syarikat atau individu lain dan nama pembangunan untuk agropolitan hanya digunakan semata-mata untuk mengelabui mata penduduk kampung untuk merampas tanah adat anak negeri itu daripada mereka.

Keadaan rumah salah seorang penduduk miskin di Kg Keiyiep yang bernama Selimoi Gunting (60 tahun) cukup jelas menceritakan keadaan penduduk-penduduk kampung di sini yang secara majoritinya hidup di bawah paras kemiskinan. Keadaan rumah yang daif dapat dilihat di banyak kampung-kampung. Di manakah peruntukan PPRT seperti yang janjikan Kerajaan BN? Kenapakah peruntukan ini tidak sampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan? Bila kita melihat kehidupan penduduk kampung yang di dalam serba serbi kekurangan, kemalaratan, daif dan miskin, kita tidak dapat lari dari memikirkan bahawa penduduk luar bandar telah dipinggirkan dari menerima kemajuan dan kita berasa amat sedih. Malahan kehidupan rakyat yang miskin di kampung-kampung yang berdekatan seperti Kg. Nawanon, Kg. Kantas Baru dan Kg Pugi juga amat meyayat hati dan kita hairan mengapa tidak ada tindakan yang serius yang diambil untuk menyelesaikan masalah kemiskinan di kalangan penduduk luar bandar.

Kita hanya baru memperkatakan tentang kemudahan asas saja, belum lagi tentang kualiti persekolahan, kualiti perubatan, kualiti infrastruktur dan sebagainya. Jika kita lihat kualiti pembangunan kepada rakyat, kita tahu bahawa penduduk luar bandar selalu mendapat kualiti perkhidmatan yang rendah dan kalaupun ada yang diberikan, hanya diberikan setakat melepaskan batuk ditangga. Kalau kita ke SK Tibabar, Ranau di asramanya, murid-murid tidur tanpa katil. Nasiblah ada tilamnya. Namun begitu, kita mahu supaya Kerajaan BN jangan hanya retorik bercakap pasal pembangunan tetapi berilah pembangunan yang berkualiti dan sungguh-sungguh memberikan faedah kepada rakyat.

Keadaan balairaya di Kg Keiyip yang telah roboh dan tertangkup selama 3 tahun tanpa peruntukan untuk memperbaikinya juga menceritakan betapa kehidupan sosial penduduk luar bandar tidak diperhatikan dengan serius oleh Kerajaan BN. Kerajaan BN nampaknya hanya menaburkan janji-janji pembangunan jutaan ringgit jika ada pilihanraya kecil, namun bagi penduduk luar bandar yang tiada pilihanraya, tiada apa pembangunan sangat yang dapat diharapkan.

Tindakan Kerajaan membeli kapal perang / kapal selam yang harganya berbillion ringgit bukanlah satu langkah yang bijak memandangkan kualiti kehidupan rakyat masih begitu ramai yang di dalam keadaan miskin. Sepatutnya kerajaan lebih memperhatikan keadaan hidup rakyat terlebih dahulu sebelum membelanjakan wang yang begitu besar hanya semata-mata untuk membeli kapal selam / kapal perang. Kalaupun kapal terbang dan kapal selam itu perlu untuk tujuan keselamatan namun perbelanjaan kearah pembelian kapal-kapal berkenaan mestilah diseimbangkan dengan keperluan untuk menjaga kualiti kehidupan rakyat. Tidak ada gunanya kita belanjakan berbillion ringgit untuk kapal-kapal tersebut sedangkan rakyat hidup dan keadaan daif, melarat, miskin dan mundur.

Salah seorang penduduk Kg Keiyep En Kayangau Limpagat juga mengatakan bahawa pada tahun 2004 seorang wakil rakyat BN juga telah berjanji bahawa jembatan besi akan dibina untuk merentasi Sungai Kepuakan untuk kemudahan penduduk kampung namun janji itu tidak ditunaikan sehingga kini. Kita mintalah supaya kemudahan infrastruktur kepada rakyat di Kg Keiyep ini disegerakan bagi merancakkan aktiviti ekonomi penduduk kampung di sini. Kita tahu bahawa pembinaan jalan Ranau-Marak Parak itu sedang berjalan tetapi jangan tunggu sampai jalanraya itu dibina sampai ke Sungai Kepuakan baru jembatan itu hendak dibina. Penduduk kampung meminta supaya jembatan itu segera dibina bagi kemudahan penduduk kampung untuk menjalankan aktiviti sosio-ekonomi mereka.

Kenyataan oleh beberapa pemimpin BN Ranau baru-baru ini yang mengatakan bahawa Ranau sudah bertukar wajah dengan pembangunan yang pesat adalah gimik politik semata-mata. Kalau benar Ranau sudah bertukar wajah maka kita mahu satu data dan statistik yang jelas mengenai penduduk Ranau yang telah membangun dan keadaan ekonomi mereka telah berubah akibat dari pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan BN. Setahu kami Kerajaan BN hanya membazirkan wang rakyat sebanyak RM15,000.00 bagi program juara rakyat yang diadakan di kampung-kampung semata-mata untuk memulihkan imej Kerajaan BN sedangkan rakyatlah yang berpenat-lelah untuk melaksanakan program-program tersebut.

Kerajaan BN sebenarnya hanya mengelabui mata rakyat berkenaan program juara rakyat yang mereka anjurkan. Mana sebenarnya pembangunan yang hakiki yang dapat mengubah kehidupan rakyat? Takkan nak berpesta dalam program juara rakyat adalah program yang hakiki yang dapat membawa pembangunan berterusan kepada rakyat? Seorang penduduk kampung di Ranau ada memberitahu saya, ‘penat saja kami yang bertungkus lumus untuk melaksanakan program tersebut, semua peruntukan mereka yang kawal tapi kami yang berpenat lelah’ katanya. Dalam erti kata lain, penduduk kampung sekali lagi diperbodohkan untuk melakukan berbagai kerja tetapi orang lain pula yang ‘bantai’ peruntukan. Bagus juga untuk melihat sejauhmana para penduduk kampung sanggup untuk diperkudakan bagi memulihkan imej BN yang telah terjejas teruk di atas berbagai isu.

Turut sama dalam menemui rakyat di Kg Keiyep ialah Timbalan Ketua Cabang En Atin Naisin, Naib Ketua Cabang En Mahat Saidin, Ketua Wanita Cabang Puan Daini Radani dan beberapa rombongan PKR Ranau. Perjumpaan dengan rakyat ini telah diadakan di beberapa buah kampung.

Jonathan Yasin
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Sabah





Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2010 Pakatan Rakyat

2 03 2010

Kira-kira 4,000 orang terdiri daripada rakyat tempatan berbilang kaum telah membanjiri dewan SM Kian Kok untuk bersama-sama meraihkan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Pakatan Rakyat pada 28 Feb 2010 baru-baru ini.. Turut hadir di majlis tersebut antara lain, Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang, tokoh-tokoh politik PAS dan pemimpin-pemimpin parti SAPP.





Taklimat MPN Sabah Sempena Lawatan Kerja Presiden Parti ke Sabah

25 02 2010

Satu taklimat majlis pimpinan negeri telah diadakan baru-baru ini di Ibu Pejabat PKR Sabah sempena lawatan kerja Ybhg Dato’ Seri Dr. Wan Azizah, Presiden Parti ke Sabah pada 21 Feb 2010

Pengerusi MPN Encik Ahmad Thamrin Hj Jaini telah memberi taklimat kepada Ybhg Dato’ Seri Presiden mengenai perkembangan keadaan politik semasa di Sabah.  Antara lainnya beliau menyenaraikan aktivi-aktivi parti sepanjang 6 bulan yang akan datang.

Dalam taklimat tersebut Dato’ Seri Presiden juga telah menyatakan betapa perlunya kepaduan parti dari semua lapisan untuk berhadapan dengan PRU 13 akan datang ini.





MESYUARAT PKR SABAH & MAJLIS BERTEMUA ANDA

17 02 2010

SEMUA Ketua Cabang PKR Negeri dan Ahli-Ahli MPN adalah dikehendaki hadir ke Mesyuarat Perhubungan Pimpinan PKR Negeri yang akan diadakan pada 21 Februari 2010, jam 10 pagi bertempat di pejabat Perhubungan Pimpinan PKR Negeri, Jalan Bundusan, Penampang, Sabah. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Presiden PKR, Dato’ Seri Dr.Wan Azizah.

Manakala satu program ‘Bertemu Anda’ dibuka kepada semua ahli-ahli PKR dan Pakatan Rakyat di Sabah bersama Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail pada 21 Februari 2010, Jam 1.00 Petang di Star City Convention Center, Asia City, Kota Kinabalu.





Perutusan Tahun Baru Cina oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim

14 02 2010

Tahun Baru Cina kali ini merupakan tahun harimau. Ianya melambangkan keberanian, kejujuran, tangkas, sedia bersaing dan siaga mempertahankan maruah. Kebiasaannya masyarakat Cina akan mengambil pedoman dari kitaran tahun-tahun tersebut untuk mencipta dan merencana masa depan yang lebih cemerlang. Namun bagi semua rakyat Malaysia ciri-ciri baik seperti berani, jujur, bersedia untuk bersaing dan berani mempertahankan maruah ternyata bukanlah asing bagi kita yang mempunyai asas kepercayaan dan tradisi masing-masing.

Kita semua mahukan yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita berhasrat Malaysia yang dicintai ini senantiasa makmur, bebas dari rasuah dan jenayah. Yakinilah, kita rakyat pasti dapat mengharungi segala rintangan demi mengembalikan Malaysia kepada maksud asal penubuhannya. Harapan kita agar negara ini adil serta saksama menjamin hak semua rakyatnya tanpa mengira kepercayaan dan ras.

Dengan kesempatan ini izinkan saya mengucapkan Xin Nian Kuai Le dan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakyat Malaysia berbangsa Tiong Hua.

Adalah diharapkan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini lebih meriah dengan sambutan bersama oleh masyarakat Melayu, India, Iban, Kadazan dan lain-lainnya. Selamat menyambut Tahun Baru Cina daripada kami, keluarga dan gerak kerja KEADILAN di semua peringkat.

ANWAR IBRAHIM





MAJLIS PERJUMPAAN DAN CERAMAH BERSAMA TAN SRI KHALID IBRAHIM KETUA MENTERI SELANGOR

2 02 2010

KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA

Tarikh: 02 Febuari 2010

MAJLIS PERJUMPAAN DAN CERAMAH BERSAMA TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM KETUA MENTERI SELANGOR

Majlis Perjumpaan dan Ceramah bersama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Selangor akan diadakan pada ketetapan seperti di bawah:

TARIKH:  7 Febuari 2010 (Ahaad)

MASA:  Jam 1.00 ptg

TEMPAT:  Star City (dibelakang Asia City Kota Kinabalu)

Semua rakyat Malaysia adalah dijemput hadir bersama.

JONATHAN YASIN
Ketua Penerangan Sabah